Kongsi dengan rakan

Friday, September 14, 2012

Jeruk mempelam muda

Usia ketika itu  8  tahun

 Di perkampungan yang dikelilingi sawah seperti di Parit Tok Ngah, pokok mempelam dan kelapa akan berjasa dalam menahan angin agar tidak meranapkan  rumah. Di kampung rumah masing-masing jauh-jauh tetapi semua penduduk saling mengenali. 
Suatu hari berlaku ribut dan hujan lebat di kampung kami.  Sawah yang lapang mengizinkan angin kencang menderu semahu-mahunya. Banyak pokok yang tumbang. 

Sepohon pokok mempelam kami telah tumbang. Ia seperti mengorbankan diri demi melindungi rumah kecil kami dari dimusnahkan angin ribut. (nasib baik ia tidak menimpa rumah kami. Kalau tidak ia akan jadi ‘pagar makan rumah’).

Pohon mempelam itu sedang berbuah dengan lebat tetapi kebanyakan buahnya masih muda. Akibat ribut kencang itu, banyak buahnya yang bertaburan. Ada sebahagiannya masih teguh di tangkai. Ada juga dahan yang terjuntai ke dalam parit dan buahnya tercelup ke dalam air.

Kerja-kerja memetik pun bermula. Penuh sebesen mempelam yang sebahagiannya ada yang pecah. Namun banyak yang masih elok. Kata emak “hari ini kita dapat durian runtuh”. Biar betul emak ni? Sudah tidak boleh bezakankah antara durian dan mempelam?

Ayet (Adikku Farid) turun ke air dan mengutip mempelam yang tenggelam di dalam parit. Dia membaling sebiji demi sebiji dan aku menyambutnya. Wah, terasa macam penjaga gol pula. Menyambut dan memasukkannya  ke dalam besen yang sedia menunggu.

Buah muda yang sebesen menunggu untuk dikupas. Bisik hatiku, berdayakah kita makan mempelam sebanyak ini? Kalau masak tak apa juga. Hendak diberikan kepada jiran, mereka pun ada banyak mempelam masing-masing. Hendak diperam tidak sesuai kerana mempelam yang diperam biasanya yang mengkal sahaja. 

Kata emak “kita akan buat jeruk mempelam”. Lalu buah itu kami buang kulitnya dan isinya dipotong-potong. Kecut tangan ku memotong isi mempelam yang amat banyak. Ku lihat tangan emak pun begitu juga. Masa ini tak ada pula Ayet membantu! Hatiku menggerutu sendiri.

Banyak lagi yang belum dikupas dan dipotong. Kami sudah sakit belakang kerana lama duduk. Kata emak “kita potong sajalah, tak perlu kupas.” Yess..!! sudah lama aku ingin cadangkan begitu.

Mempelam yang siap dipotong dibasuh sekali lagi dan airnya akan ditoskan. Raga baju plastik kami yang berlubang-lubang  itu menjadi penapisnya. Lalu kami raga itu dan ditenggekkan di atas baldi. Titisan air kelihatan jatuh ke dalam baldi tersebut. 

Emak menggaulkan mempelam dengan gula dan garam. Banyak sekali gula yang dimasukkan.

“Habis gula kita mak! Tak apa ke?” aku bertanya mempamerkan kerisauan.

Emak menyimpan mempelam yang bergula itu ke dalam bekas-bekas berasingan. Rumah kami tiada peti sejuk. Kata emak, gula akan meresap sempurna dalam masa dua hari.

“Kita kena habiskan jeruk ini dalam masa tak lebih dari 3 hari. Kalau tidak ia akan berbuih menandakan ia akan basi “. Sekali lagi kerisauan ku timbul dengan penjelasan emak itu..

Selepas dua hari aku membawa sedikit jeruk mempelam yang sudah boleh dimakan. Aku bungkus dalam plastic agar airnya tidak keluar. Kemudian aku balut sekali lagi dengan kertas suratkhabar sebagai penyerap jika ada air gula yang bolos. Di sekolah beberapa orang kawan turut menjamah jeruk yang ku bawa.


                “ Hmm.. sedaplah. Beli kat mana ni? Esok belikan kat kami sekali. Nanti kami bagi duit.” Tanya kawanku, Noraiza Hosni namanya. Mukanya berkerut-kerut menahan masam.

Aku tidak menjawab.. kerana didalam kepalaku, melintas satu idea.
Ya!  Esok aku agar jadi saudagar jeruk mempelam.

Tazkirah:

Allah memberi rezeki daripada jalan yang kadangkala kita tidak sangka. Musibah yang pada awalnya mengecewakan akhirnya menjadi rezeki yang besar. Jika mempelam itu dijual terus harganya mungkin 30 sen sahaja SEKILO. 

Bersyukur juga dengan nikmat ilmu dan kudrat. Emak secara tidak langsung telah mendedahkan aku cara-cara jeruk dibuat. Jangan lupa Allah juga yang membukakan selera kawan-kawanku untuk membeli. 
Jeruk itu kalau dibandingkan dengan jeruk di pasaran yang ada sekarang pasti tiada siapa pun memandang. 

No comments:

Post a Comment